Sirul Pertimbang Bongkar Dalang Kes Altantuya


Sirul Pertimbang Bongkar Dalang Kes Altantuya

Selepas ke Australia, bekas anggota polis elit Sirul Azhar Umar kini mempertimbangkan menjawab persoalan terbesar sekitar pembunuhan Altantuya Shaariibuu – kenapa dia dan Azilah Hadri membunuh wanita itu?

Dalam perbualan telefon denganMalaysiakini baru-baru ini, Sirul mendedahkan bahawa beberapa media Australia telah pun memohon sesi wawancara “terus terang” dengannya.

“Saya belum putuskan untuk ditemubual,” katanya.

Ditanya sama ada beliau sedia mendedahkan segala-galanya jika wawancara itu menjadi kenyataan, bekas anggota polis itu menjawab:

“Ya, saya pertimbangkan kemungkinan ini dengan serius.”

Difahamkan bahawa beberapa stesen televisyen telah berhubung dengan Sirul (atas), yang sedang ditahan pihak imigresen negara itu di Sydney.

Rundingan antara Sirul dan stesen TV masih berjalan.

'Bertindak atas arahan'

Sementara itu, Sirul memberitahu bahawa dia tidak kenal mangsa pembunuhan atau Abdul Razak Baginda – penganalisis politik dan rakan dekat Datuk Seri Najib Razak yang terlepas dalam kes itu.

“Saya bertindak atas arahan. Orang penting yang mempunyai motif masih bebas,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

“Ia bukan bermakna saya tidak sayangkan (pasukan) polis, tetapi saya bertindak atas arahan,” tegasnya.

Menjawab soalan, Sirul berkata keadaannya OK di pusat tahanan dan dia dibenarkan menggunakan telefon dan Internet.

“Saya biasanya baca MalaysiakiniUtusan (Malaysia) dan Harakahuntuk ikuti perkembangan di kampung halaman,” katanya.

Dari jauh, duda 43 tahun itu bagaimanapun bimbangkan dua anak remajanya di Malaysia yang berhenti sekolah, akibat kesnya.

Kambing hitam

Bulan lepas, Sirul dan Azilah dijatuhi hukuman mati apabila didapati bersalah dalam kes tersebut di Mahkamah Persekutuan.

Terdapat beberapa persoalan di sebalik kes itu, termasuk motif pembunuhan itu yang masih misteri.

Najib, ketika masih timbalan perdana menteri, bersumpah dengan nama Allah bahawa beliau tiada kaitan dengan kes itu.

Bekas pembantunya, DSP Musa Safri, yang memberitahu Azilah untuk membantu Razak Baginda (kanan) pada malam pembunuhan itu, tidak dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan.

Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Sirul mendakwa dia dijadikan kambing hitam untuk “melindungi rancangan mereka”.

Sirul tidak hadir di Mahkamah Persekutuan ketika keputusan disampaikan kerana berada di Australia.

Undang-undang Austalia tidak membenarkan ekstradisi individu yang berdepan hukuman mati ke negara asal. - Malaysiakini.com
Share on Google Plus

About Nobody

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow Us on Facebook