Hariff Salleh Dakwa Ditumbuk (LTDL 2015)

PERLUMBAAN peringkat keenam kejohanan berbasikal Proton Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 semalam tercemar dengan insiden yang tidak diingini.

Pelumba berpengalaman Terengganu Cycling Team (TSG), Hariff Salleh mendakwa ditumbuk pelumba pasukan yang berpangkalan di United Kingdom, Southeast, Alessandro Petacchi, sekali gus mengganggu tumpuannya mengharungi perlumbaan sejauh 96.6 kilometer (km) dari Maran ke Karak, Pahang itu.
“Ini perlumbaan basikal, bukan gelanggang bertumbuk,” luah Hariff selepas tamat perlumbaan semalam.
Menurut Hariff, dia tidak menjangka kejadian tersebut boleh berlaku dan ia merupakan pengalaman pertamanya menghadapi situasi sedemikian.
“Insiden tersebut telah menjejaskan tumpuan saya terhadap perlumbaan yang ketika itu sedang memasuki zon pecutan.
“Memang kuat dia tumbuk belakang saya ketika kami memasuki zon pecutan di Temerloh. Mula-mula dia macam marah kerana saya berada dalam kalangan pelumba mereka dan lepas itu, dia tumbuk belakang saya. Perbuatannya itu benar-benar mengganggu kayuhan saya.
“Saya cuba nak pecut lagi tetapi takut dia buat lagi. Memang kita pasukan kecil, ‘cap ayam’ tetapi janganlah pasukan Pro Team main kotor macam ini. Mereka datang Malaysia untuk berlumba, jadi hormatlah sikit,” dakwa Hariff yang mahu mengemukakan aduan mengenai insiden tersebut kepada pihak penganjur.
Sebelum ini, Hariff pernah dihalang secara kasar oleh pelumba pasukan Androni Giocattoli-Venezuela, Francesco Chicchi pada 100 meter terakhir perlumbaan peringkat kedua dari Alor Setar ke Sungai Petani, 9 Mac lalu.
Sementara itu, jurulatih TSG, Sebastien Duclos menjelaskan, dia tidak boleh memberi komen mengenai dakwaan Hariff itu kerana perlu melihatnya semula menerusi rakaman video terlebih dahulu.
“Insiden ditumbuk sebenarnya permainan pakar pecut dalam perlumbaan lumba basikal. Ia boleh terjadi pada beberapa kilometer ke zon pecutan atau ke garisan penamat,” katanya.
Dalam pada itu, Petacchi yang menamatkan saingan di tempat keenam pada peringkat keenam semalam, menepis dakwaan Hariff.
“Saya hanya sentuh dia dua kali kerana cara kayuhan Hariff membahayakan pelumba lain, terutama pelumba saya,” kata Petacchi yang berasal dari Itali.
Perlumbaan peringkat keenam semalam dimenangi pelumba Australia, Caleb Ewan dari pasukan Orica GreenEdge dengan catatan masa 2 jam 14:19 saat (s) manakala Hariff sekadar menamatkan saingan di tempat ke-111.

Share on Google Plus

About Nobody

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow Us on Facebook