Lima tahun lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) lebih dikenali sebagai sebuah pengeluar rangkaian motosikal dan skuter berkapasiti kecil.
Satu jenama yang gah di Malaysia namun sekadar bermain secara selamat dalam kelas jentera roda dua 250cc ke bawah.
Bagaimanapun, pada tahun 2011, syarikat yang berpangkalan di Sungai Buloh, Selangor itu cuba mengubah persepsi orang ramai bahawa mereka tidak lagi mahu dikenali sebagai jaguh kampung 250cc.
HLYM mengambil keputusan untuk melancarkan sebuah jentera pemasangan tempatan 600cc. Model itu ialah Yamaha XJ6 Diversion.
Momentum itu diteruskan dengan penambahan dua varian baharu iaitu XJ6 dan XJ6 Diversion F. Selepas itu, syarikat itu membawa masuk siri MT iaitu MT-09 dan MT-07 untuk pasaran tempatan.
Apa yang menariknya, HLYM menyenaraikan semua model itu untuk aktiviti pemasangan tempatan (CKD) menerusi fasiliti pengeluaran di Sungai Buloh. Ini secara tidak langsung mengurangkan harga motosikal berkenaan.
Sungguhpun begitu, HLYM pada ketika itu masih ketinggalan dalam satu kelas yang amat penting di Malaysia iaitu 250cc.
Awal bulan ini, syarikat itu akhirnya memutuskan untuk memperkenalkan sebuah model sport bike suku liter iaitu Yamaha YZF-R25 ke pasaran domestik. Model motosikal itu juga disenaraikan dalam program CKD.
Segmen 250cc tempatan bukannya laluan mudah untuk R25 meraih sokongan ramai. Kelas itu sarat dengan pelbagai model pesaing popular dari Jepun, Korea Selatan, China dan Taiwan.
Apa yang pasti, Yamaha YZF-R25 perlu berdepan dengan pendominasi senegaranya dalam segmen itu iaitu Kawasaki Ninja 250.
Yamaha YZF-R25 membuat debut global sewaktu pameran Tokyo Motor Show pada tahun 2013 dan diikuti di Auto Expo 2014 di India. Motosikal itu didakwa menerima beberapa konsep reka bentuk dan gayaan daripada jentera MotoGP Yamaha M1
Diberi jolokan sebagai Baby M1, motosikal itu mula dilancarkan di Indonesia sebelum tiba ke pasaran Malaysia. Bagaimanapun, pengguna tempahan hanya boleh melihat model itu secara dekat di bilik-bilik pameran atau kedai motosikal menjelang bulan April ini.
Reka bentuk YZF-R25 nyata mempamerkan imej agresif. Aplikasi lampu utama yang berbentuk tirus segi empat tidak tepat itu membantu menguatkan elemen gayaan sport. Lampu isyarat membelok pula dipasang selari dengan set lampu utama.
Komponen penghadang angin yang dipasang di atas set lampu hadapan membantu mengurangkan rintangan angin sekali gus meningkatkan faktor aerodinamik sewaktu tunggangan.
Dari pandangan sisi, wajah hadapan yang diadun bersama fairing tepi membuatkan motosikal itu kelihatan sedikit menawan. Garisan badan pada komponen fairing itu turut membantu menyalurkan udara keluar sewaktu menunggang.
Tangki minyak motosikal itu juga diberikan beberapa keluk garisan badan dengan harapan menjadikannya kelihatan lebih maskulin. Pelana motosikal penunggang dan pembonceng telah diasingkan.
Bahagian belakang YZF-R25 agak ringkas yang mana ia hanya dilengkapi set lampu belakang jenis LED mirip jentera lumba R1. Lampu isyarat membelok pula diadun bersama pemegang nombor pendaftaran motosikal.
Beralih pada pandangan meter, motosikal itu dipasang dengan instrumen meter gabungan paparan analog dan digital LCD.
Kuasa menggerakkan motosikal itu datangnya daripada unit enjin dwisilinder sebaris dengan padanan transmisi enam kelajuan. Sistem bendalir digunakan untuk mengurangkan kepanasan enjin tersebut.
Enjin YZF-R25 menggunakan silinder DiASil (Die casting Aluminum-Silicon) yang didakwa mampu mengurangkan berat jentera dan bahang enjin.
Kebuk pembakaran dalam enjin turut direka dengan fokus untuk mengoptimumkan campuran udara dan petrol bagi menjayakan pembakaran yang lebih optimum. Sistem penyampaian bahan api menggunakan teknologi pancitan terus.
Tugas memberhentikan pergerakan jentera itu diserahkan kepada seunit brek cakera yang dipasang pada kedua-dua buah roda. Set brek roda hadapan menggunakan angkup dwiomboh manakala roda belakang mengaplikasikan angkup omboh tunggal.
Aspek kestabilan tunggangan dibantu oleh sistem fork standard hadapan dan penyerap hentak tunggal pada bahagian belakang.
Yamaha YZF-R25 adalah seberat 166 kilogram dan ia dipasang pelana dengan ketinggian 780 milimeter yang mana sesuai untuk para pengguna di negara-negara Asia Tenggara.
Sebagai permulaan, HLYM meletakkan sasaran jualan sebanyak 300 unit sebulan. Harga rasmi untuk model berkenaan masih belum diumumkan.
Bagaimanapun, HLYM memberi petunjuk awal harga anggaran kira-kira RM20,000 untuk sebuah YZF-R25. Pilihan warna yang ditawarkan ialah biru kelabu dan merah putih.
sumber : Kosmo
0 ulasan:
Catat Ulasan